Monday, January 19, 2009

Berapa Nilai Perlindungan Takaful Anda?

Berapa Nilai Perlindungan Takaful Anda?

Kini Takaful (atau Islamic Insurance) telah menjadi suatu keperluan.
Sekiranya anda ingin mempunyai skim perlindungan takaful, barangkali anda bole menggunakan pengiraan di bawah sebagai SALAH SATU CARA PENGIRAAN.
Hanya 3 langkah mudah sahaja untuk anda pelajari.
Khususnya untuk anda yang merupakan seorang suami dan seterusnya sebagai ketua keluarga dan ‘breadwinner’ dalam kebanyakan situasi.

Langkah 1
Berapakah pendapatan bulanan anda ?
atau, berapakah jumlah perbelanjaan bulanan anda ?
(Pilih salah satu, kalau anda sayang sangat dengan isteri anda, ambik jumlah yang tertinggi. hehe )
Untuk tujuan perbincangan, saya letak RM 3,000.

Langkah 2
Darabkan jumlah pendapatan / perbelanjaan dengan 12 (bulan)
Ia dibuat untuk mengetahui pendapatan / perbelanjaan tahunan anda.
RM 3,000 x 12 = RM 36,000.

Langkah 3
Darabkan hasil pengiraan langkah 2 dengan 8.
RM 36,000 x 8 = RM 288,000
Maka jumlah perlindungan yang perlu anda ambil adalah RM 288,000 (MINIMA)

*Ini untuk perlindungan asas melibatkan kematian atau keilatan (lumpuh) kekal.
Kenapa dikira pendapatan / perbelanjaan tahunan ? Tidak bulanan misalnya.
Sebagai waris si mati, kita wajar menguruskan urusan dunia yang masih ada secepat mungkin. Selesaikan hutangnya. Selesaikan wasiat. Selesaikan pembahagian harta. Tetapi selalunya urusan ini tidak selesai dalam tempoh sehari, malah setahun pun belum tentu.
Dan kita juga perlu memberi ruang kepada keluarga si mati, khususnya si isteri, paling kurang tempoh 1 tahun untuk menguruskan perkara-perkara di atas. Dan dalam tempoh ini juga, si isteri dan anak-anak si mati perlu terus makan dan mempunyai tempat tinggal.

Berdasarkan firman Allah swt:
Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(al-Baqarah: 240)

Jadi, sekiranya rumah yang diduduki oleh si isteri itu, ada hak orang lain misalnya, tidak wajar si isteri itu tadi dihalau keluar terus dari rumah tersebut.
Malah, sekiranya si isteri betul-betul bergantung dengan pendapatan suami semata-mata, berilah dia tempoh 12 bulan untuk membina semula kehidupan baru seperti mencari kerja semula dan sebagainya.

Jadi dalam tempoh 12 bulan itu tadi, isteri anda tak perlu lah terbeban dengan kesedihan dan kepayahan mencari perbelanjaan bulan-bulan kerana anda telah pun menyediakan keperluan minima untuk tempoh tersebut.

Lagi baik lagi, kalau anda ada membeli insurans isi rumah (householder insurance / MRTA) yang membolehkan rumah yang dibeli oleh anda itu terus didiami oleh isteri anda dan anak-anak anda sekiranya ditakdirkan selepas habis 12 bulan itu, isteri anda gagal mendapat pekerjaan untuk meneruskan kehidupan mereka.

Hilang kereta ramai daripada kita boleh bertenang lagi, tetapi kalau hilang tempat berteduh ?
Kenapa pendapatan / perbelanjaan tahunan anda perlu didarabkan dengan 8 ?
Dalam Islam, mengikut hukum faraid, sekiranya si suami meninggal dunia dan meninggalkan isteri dan mempunyai anak, maka si isteri berhak mendapat 1/8 dari jumlah harta pusaka suami.

Ia berdasarkan firman Allah swt:
Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu
(An-Nisa : 12)

Maka 1/8 dari RM 288,000 bersamaan dengan RM 36,000 yang bersamaan dengan pendapatan / perbelanjaan anda selama setahun.

Nota Penting
Ini bukanlah satu-satunya cara untuk mengira jumlah perlindungan takaful / insurans anda. Setiap orang mempunyai keperluan dan situasi yang berbeza-beza. Pelan Takaful boleh diolah mengikut keperluan setiap individu secara khas dan ia melibatkan manfaat perlindungan yang amat luas.

Petikan yg diolah dari: Pakdi.my.